Wednesday, March 31, 2010

Swasta Diajak Kembang Sektor Pelancongan

Lintas Langsung dari Primula Hotel, Kuala Terengganu: Oleh: Kamarudin Mat Akib



Ahmad Razif (tengah) menekan butang tanda bermulanya Pertandingan Blog Pelancongan Terengganu 2010 `Terengganu Dihati Ku' sambil disaksikan Dato' Razali Kassim dan Pengarah UKOM, Rosli Zakaria. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

KUALA TERENGGANU, 1 April - Sikap tunggu dan lihat yang diamalkan syarikat swasta dan agensi pelancongan tempatan sebelum melaksanakan pelbagai projek di bidang pelancongan, amat merugikan kerana sektor berkenaan kini berkembang dengan pesat.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said, berkata pihak berkenaan perlu melibatkan diri sepenuhnya dalam sektor pelancongan kerana sokongan pelbagai pihak, terutama pihak swasta diperlukan bagi membangunkan sektor tersebut.

“Di Terengganu, walaupun negeri ini kaya dengan aset pelancongan di setiap daerah, namun penglibatan pihak swasta masih rendah,” katanya dalam ucapan perasmian Pertandingan Blog Pelancongan Terengganu, di Dewan Gamelan, Primula Beach Resort, petang ini.

Teks ucapan tersebut dibacakan Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia Negeri, Haji Ahmad Razif Abd Rahman.

Menteri Besar berkata, usaha Unit Komunikasi Negeri (UKOM) mengadakan pertandingan blog berkaitan pelancongan amat dibanggakan kerana sebagai agensi yang ditugaskan untuk menyebarkan maklumat mengenai Terengganu, usaha itu akan mencapai matlamat yang diharapkan.

“Usaha yang saya anggap sebagai serampang dua mata ini penting kerana, selain dari satu pertandingan yang akan menggalakkan orang-ramai menceritakan pengalaman mereka melawat Terengganu menggunakan media baru, tulisan atau berita yang disiar di dalam blog akan membantu mempromosi Terengganu sebagai satu destinasi yang hebat dan menarik di seluruh dunia melalui jaringan Internet.


Ahmad Razif yang mewakili Menteri Besar Terengganu berucap pada majlis perasmian berkenaan.

“Saya difahamkan, semasa blog utama pertandingan ini masih dalam pembinaan (under construction), webmaster yang terdiri dari petugas UKOM telah mendapati terdapat pengunjung dari luar negara seperti dari Amerika dan Australia melihat gambar-gambar menarik yang telah dimuat turun,” katanya.

Dato’ Ahmad berkata, keadaan ini jelas menunjukkan bahawa dunia ingin mengetahui tentang Terengganu, tarikan alam semulajadinya dan pelbagai perkara yang terdapat di negeri ini.

Katanya, dengan adanya nota-nota pengalaman yang diterjemahkan dalam blog yang juga memaparkan gambar-gambar yang menarik serta kemudahan yang ada, pelancong boleh membuat perbandingan sama ada ia berbaloi untuk bercuti di Terengganu.

“Saya pasti, di kalangan 10 billion pelayar Internet di seluruh dunia, sudah tentu ada di kalangan mereka yang ketika ini sedang melayari website atau blog yang menyentuh tentang Terengganu dan saya juga pasti sudah ada yang membuat tempahan bilik untuk menginap sehari-dua di Terengganu,” ujar beliau.

Katanya, tahun lalu Terengganu menerima 3.2 juta pelancong manakala tahun ini kerajaan negeri mensasarkan 3.5 juta pelancong.

Beliau berkata, dalam usha memajukan sektor pelancongan di Terengganu, kerajaan negeri merupakan pelabur terbesar yang bertanggungjawab menggerakkan sektor berkenaan dan sebahagian besar hasilnya akan dinikmati oleh rakyat.


Hadirin yang hadir bagi mendengar dan mendapatkan maklumat mengenai pertandingan yang menawarkan hadiah yang lumayan.

“Memandangkan potensi sektor pelancongan dalam menjana ekonomi, Kerajaan Negeri membelanjakan sebahagian besar bajet tahunan untuk menyediakan prasarana untuk menarik lebih ramai pengunjung,” tambahnya.

Menteri Besar yakin dengan kesediaan kerajaan menerajui pembangunan sektor pelancongan di Terengganu dengan membangunkan tarikan-tarikan baru, jumlah pelancong akan terus meningkat.

Antara tarikan-tarikan baru yang bakal menjadi tumpuan pelancong ialah “Kenyir Island Hopping”, Santuari Kelah, Santuari Gajah, Pusat Tekstil, Taman Negara berhampiran Gua Bewah di mana telah dijumpai artifak, iaitu rangka manusia tertua di Malaysia berusia 16,000 tahun.

“Industri-industri kecil yang sedia ada seperti tenunan songket dan batik serta kraftangan berasaskan tembaga dan ukiran tradisional kayu, akan terus menjadi tarikan,” ujarnya.

TEGANUKITA



Monday, March 22, 2010

TUJUAN

Tujuan utama pertandingan ini diadakan ialah untuk:-

2.1 Memupuk lebih ramai penulis blog/website khusus yang berbicara mengenai pelancongan yang terdapat di negeri Terengganu.

2.2 Mengguna dan menjadikan kemudahan ICT untuk tujuan mempromosi pelancongan di seluruh dunia dengan cara yang termurah dan efektif.

2.3 Meningkatkan kualiti, kecekapan dan keberkesanan laman blog pelancongan Terengganu selaras dengan dasar kerajaan negeri untuk mewujudkan persaingan sihat di kalangan kementerian, jabatan dan agensi bagi menghasilkan laman web yang terbaik, kemaskini, interaktif dan informatif

2.4 Menyediakan saluran alternatif penyebaran maklumat kepada orang ramai berdasarkan ‘real time information’.

2.5 Memberi pengiktirafan dan penghargaan kepada warga yang peka, kreatif dan inovatif.

2.6 Memastikan laman blog/website ini dapat mendokumentasikan sebanyak mungkin maklumat yang tepat mengenai Terengganu melalui saluran yang mesra pengguna.

Pendahuluan

Pelancongan merupakan sektor ekonomi penting yang berasaskan perkhidmatan dimana pada tahun 2009, Malaysia telah berjaya menarik kehadiran lebih 23 juta pelancong dan membawa masuk tukaran wang asing melebihi RM51 billion.

Tidak boleh dinafikan lagi bahawa sektor pelancongan berjaya menjana pendapatan negara dan senario ini dijangka akan terus berkembang dengan usaha pelbagai pihak untuk memajukan sektor pelancongan melalui promosi dan produk-produk baru.


Terengganu tidak ketinggalan dalam usaha-usaha menarik pelancong melawat negeri ini yang terkenal dengan keindahan alam semulajadi serta budaya dan warisan yang unik.

Kerajaan Negeri dalam Bajet 2010 telah mengariskan sektor pelancongan sebagai strategi baru untuk menjana pendapatan negeri dalam usaha mengurangkan pengantungan kepada hasil royalti minyak dan gas. Malah sektor pelancongan dirancang menjadi tulang belakang ekonomi negeri Terengganu di masa akan datang.

Sebagai menyokong iltizam ini, pelbagai program dan aktiviti akan diadakan sepanjang tahun dengan harapan lebih ramai pelancong berkunjung ke Terengganu. Selain itu, beberapa hotel baru dijangka siap tahun 2010 bagi menampung lebih ramai lagi pengunjung.

Antisipasi potensi kehadiran pelancong ke Terengganu amat positif dengan mensasarkan 3.8 juta pengunjung melawat tempat-tempat yang menjadi tarikan. Kebanyakan maklumat mengenai boleh didapati melalui laman web dengan melayari internet,

Bagi menyokong usaha Kerajaan ini dan menyedari betapa pentingnya peranan media baru (new media) sebagai saluran promosi produk pelancongan, Unit Komunikasi Negeri Terengganu mencadangkan satu pertandingan mencipta blog/website baru dengan memberi tumpuan khusus dalam sektor pelancongan.

Kini terdapat lebih 10 bilion pengguna internet di seluruh dunia. Melalui kemudahan ICT ini dan pertandingan yang diadakan untuk mempromosi negeri Terengganu, sempadan maklumat tiada hadnya bagi pelayar-pelayar internet di seluruh dunia.

Lebih banyak blog/website mengenai Terengganu, lebih efektif usaha mempromosi Terengganu. Malah, cara mempromosi Terengganu melalui blog/website adalah cara termurah berbanding iklan di media cetak dan elektronik.

Pertandingan ini juga boleh mencungkil bakat-bakat baru dalam blog/web designing dikalangan rakyat Terengganu dan tidak lari dari usaha Kerajaan untuk membina masyarakat celik IT.

Syarat-Syarat

NAMA

Pertandingan ini dinamakan PERTANDINGAN BLOG PELANCONGAN 2010 sempena 2 Tahun Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan Negeri Terengganu.

ANJURAN

Pertandingan ini dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Terengganu melalui Unit Komunikasi Negeri Terengganu.

TEMA

Tema : Tema umum yang ditetapkan untuk pertandingan ini ialah “Terengganu Di Hatiku”. Para peserta pertandingan dikehendaki memikirkan tema yang paling menarik untuk blog mereka tetapi perkataan “Terengganu” wajib ada.

KETERANGAN

Pertandingan PERTANDINGAN BLOG PELANCONGAN TERENGGANU 2010 lebih menjurus kepada melahirkan inspirasi keindahan, kepermaian, corak sosio budaya, keseniaan, serta kepelbagaian aktiviti di negeri Terengganu yang menggamit kehadiran pelancong ke negeri Terengganu kini dan pada masa depan. Oleh itu, kesemua peristiwa, catatan,gambar dalam paparan blog atau laman web hendaklah membawa mesej positif dan mampu menterjemahkan hasrat kerajaan negeri untuk menjadikan Terengganu sebagai destinasi pelancongan.

HADIAH PERTANDINGAN

Kategori Pelajar Tingkatan 6 Ke bawah
i. Pertama : RM 5,000.00
ii. Kedua : RM 3,500.00
iii. Ketiga : RM 2,500.00
iv. Keempat : RM 1,500.00
v. Kelima : RM 1,000.00
vi. Saguhati : RM 250.00 x 10 unit.

Kategori Pelajar IPT
i. Pertama : RM 7,000.00
ii. Kedua : RM 5,000.00
iii. Ketiga : RM 3,000.00
iv. Keempat : RM 2,000.00
v. Kelima : RM 1,500.00
vi. Saguhati : RM 300.00 x 10 unit.

Kategori Terbuka
i. Pertama : RM10,000.00
ii. Kedua : RM 7,000.00
iii. Ketiga : RM 5,000.00
iv. Keempat: RM 3,000.00
v. Kelima : RM 2,000.00
vi. Saguhati : RM 500.00 x 10 unit.

SYARAT PENYERTAAN

1.Kategori Peserta

  • Pelajar Tingkatan Enam Dan Ke Bawah
  • Pelajar IPT
  • Terbuka
2. Pertandingan menulis blog terbuka kepada semua warganegara Malaysia mengikut kategori di atas.
3. Setiap peserta hanya layak mendaftar 1 blog sahaja untuk dipertandingkan, dengan mendaftar nama blog sendiri di blogger.com ataupun wordpress.com atau mana-mana penyedia perkhidmatan blog percuma atau berbayar.
4. Sebarang kos mengendalikan blog adalah tanggungan peserta sendiri. Pihak penganjur tidak melayan sebarang tuntutan.
5. Pendaftaran boleh dibuat secara online atau dengan mengisi borang penyertaan yang disediakan.
6. Pertandingan dilaksanakan secara online, dan peserta boleh menyiapkan blog tersebut pada bila-bila masa dalam tempoh pertandingan.
7. Tempoh masa pertandingan adalah selama 6 bulan dan bermula 1 April 2010 hingga 30 September 2010.
8. Peserta boleh menggunakan mana-mana penyedia perkhidmatan blog dan blog yang bertanding perlu meletakkan logo pertandingan blog dan bendera negeri Terengganu.
9. Untuk maklumat Urus Setia, setiap peserta perlu menyertakan profail seperti berikut:

• Nama penuh seperti di dalam Kad Pengenalan
• No. KP
• Alamat surat-menyurat
• E-mel
• Nombor untuk dihubungi (rumah/telefon bimbit)

10. Staf UKOM dan Jawatankuasa Pertandingan serta ahli keluarga terdekat tidak dibenarkan menyertai pertandingan ini.
11. Pihak UKOM berhak untuk menyiarkan artikel, rencana, gambar dan apa jua penulisan serta bahan blog peserta semasa dan selepas pertandingan ini di portal, laman blog, akhbar, penerbitan dan majalah terbitan UKOM.
12. UKOM berhak menyiarkan artikel dari blog yang menyertai pertandingan dalam media massa arus perdana pada bila-bila masa.
13. Keputusan hakim dan panel juri adalah muktamad.

ALAMAT BLOG

1. Alamat blog anda adalah pilihan sendiri.
2. Setiap blog yang menyertai pertandingan akan dipautkan ke blog penganjur (http://trgtourism.blogspot.com)
3. Setiap peserta akan disyaratkan memasang logo pertandingan dan bendera negeri Terengganu serta dipautkan ke blog penganjur.
4. Peserta digalakkan menggunakan kreativiti template dan plugin.

PENULISAN BLOG

Peserta bebas untuk menulis apa jua artikel, kisah, maklumat, panduan, diari dan sebagainya di dalam blog ini yang bertemakan pelancongan Terengganu selagi tidak mempunyai bahan-bahan larangan di bawah:
a. Bahan/artikel lucah.
b. Bahan/artikel yang menggugat perhubungan kaum.
c. Peniruan/plagiat daripada website/portal/blog lain.
d. Grafik/Video/Muzik yang mempunyai Hak Cipta terhad.

Artikel-artikel perlulah ditulis dalam Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris sahaja.

HAKMILIK

Semua blog akan menjadi hakmilik peserta dan layak untuk menyertai pertandingan pusingan kedua bermula dari tarikh yang akan ditentukan kelak.

KRITERIA PEMILIHAN
1. Keputusan akan dinilai oleh juri yang dilantik oleh Jawatankuasa Induk Penganjuran Pertandingan.
2. Blog yang mempunyai kriteria berikut layak untuk menerima hadiah daripada tempat pertama hingga saguhati. Perkara yang termasuk dalam penilaian :-
a. Jumlah artikel/post minima 15 bahan sebulan atau 75 artikel sepanjang tempoh pertandingan dan dikemaskini secara berkala dan berterusan.
b. Susunan artikel dan gambar yang menarik dan kemas.
c. Kekerapan jumlah pengunjung (hits).
d. Informasi yang mesra penguna, berilmiah dan berfaedah.
e. Keaslian penulisan berdasarkan pengalaman sendiri.
f. Markah tambahan akan dipertimbangkan. Penggunaan bahan kreatif untuk sokongan idea, termasuk video, multimedia, flash, photos, grafik, hasil photoshop, dsb.

Struktur Permarkahan

1. Keaslian – 40 markah
2. Mesra Pengguna – 20 markah
3. Persembahan – 20 markah
4. Kreativiti – 20 markah
5. Justifikasi Tambahan - 20 markah

Keputusan hakim dan panel juri adalah muktamad.

PENJELASAN SYARAT-SYARAT

1. Tarikh tutup penyertaan ialah pada 30 Jun 2010. Kesemua penyertaan/pendaftaran selepas tarikh tersebut tidak akan dinilai.
2. Setiap penyertaan hendaklah menggunakan borang yang disediakan di laman blog, dimuat turun atau salinan fotostat borang rasmi. Setiap penyertaan akan disahkan melalui nombor penyertaan yang diperolehi daripada Urus Setia.
3. Penganjur berhak menolak setiap penyertaan yang tidak mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan dan keputusan panel penilai adalah muktamad. Sebarang bantahan dan surat-menyurat selepas penghakiman tidak akan dilayan.
4. Hal-hal yang tidak dinyatakan dalam syarat-syarat di atas adalah di bawah bidang kuasa penganjur yang menentukannya.
5. Sebarang petikaian dan kekeliruan dari segi istilah dan pelbagai perkara lain (jika ada) dalam syarat dan peraturan ini hendaklah merujuk kepada Jawatankuasa Induk Pertandingan. Tafsiran dan penjelasan yang diberikan oleh jawatankuasa Induk Pertandingan adalah muktamad.
6. Sebarang pertanyaan berkaitan pertandingan ini bolehlah diajukan kepada Urus Setia pertandingan, Harun (019-9897679), Anida (019-3728521), Rozita (019-6065740), Huraizah (017-9625517) atau e-mail Urus Setia: trgtourism@yahoo.com atau lawati www.trgtourism.blogspot.com
7. Borang yang telah dihantar hendaklah mendapat pengesahan balas secara on-line melalui e-mail daripada :

Urus Setia
Pertandingan Blog Pelancongan Terbaik Terengganu 2010
Unit Komunikasi Negeri Terengganu
Jalan Pejabat
20200 Kuala Terengganu


8. Borang penyertaan hendaklah dihantar dan disah akui oleh penganjur dalam tempoh 30 hari pendaftaran.

Adu Kolek (Terengganu Seafarer Challenge)

Adu Kolek (Terengganu Seafarer Challenge) 1-3 December 2017