Terengganu destinasi pilihan pelancong

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Kedudukan Terengganu sebagai antara tiga destinasi pelancongan popular di Malaysia pada tahun lepas, seperti yang diumumkan Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), pastinya menggembirakan banyak pihak.

Menurut MATTA, Terengganu yang menawarkan pelbagai pakej pelancongan yang menarik di darat, tasik dan pulau, menjadi destinasi popular pelancong dalam dan luar negara bersama-sama Pulau Langkawi dan Pulau Pinang.

Pengusaha hotel, chalet, rumah tumpangan dan ‘home-stay’ gembira kerana penginapan mereka mendapat tempahan berterusan, terutama pada waktu puncak – cuti sekolah dan musim perayaan.

Pengusaha makanan, barangan kraf dan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) pula pasti berpeluang menambah produk masing-masing kerana permintaan kian meningkat.

Manakala di pihak kerajaan pula, kedudukan ini tentunya menjadi ‘kayu pengukur’ kepada usaha mereka untuk memajukan industri pelancongan bagi menggantikan sumber ekonomi negeri yang sebelum ini terlalu bengantung kepada royalti minyak.

Tambah menggembirakan apabila Timbalan Presiden MATTA, John Tan, yang mengadakan sidang akhbar di Kuala Lumpur kelmarin, mengumumkan bahawa permintaan bagi pelancongan domestik meningkat kira-kira 45 peratus pada tahun lalu.

Bahkan beliau turut mensasarkan pertumbuhan yang sama bagi tahun ini dijangka meningkat kepada 46 peratus.

Seramai 3.2 juta pelancong melawat Terengganu pada tahun 2009 dan tahun lalu dianggarkan lebih tiga juta orang melawat negeri ini.

Pelbagai usaha dilakukan kerajaan bagi menarik pelancong termasuk mengadakan usahasama dengan syarikat penerbangan komuniti pertama negara, Firefly (Sdn Bhd) bagi menyediakan perkhidmatan penerbangan terus dari Singapura ke Lapangan Terbang Sultan Mahmud.

Taman Tamadun Islam (TTI) pula menyediakan perkhidmatan ‘river cruise’ sebagai daya tarikan baru, bagi membolehkan pelancong menyusuri Sungai Terengganu.

Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) pula mewujudkan ‘water front’ dan lanskap di Kampung Cina bagi mengindahkan panorama di sekitar bandar raya Kuala Terengganu.

Piala Monsun yang mencatatkan Terengganu di peta dunia diubahsuai dengan penglibatan lebih ramai rakyat tempatan dalam acara tradisional seperti perlumbaan perahu panjang.

Taman Rekreasi dan Mini Zoo Bukit Takal, di Kemaman, diwujudkan bagi menempatkan pelbagai spesies haiwan untuk tarikan pelancong.

Tasik Kenyir yang berusia 30 tahun pula diserikan dengan kewujudan Kenyir Island Hoping yang menampilkan pelbagai aktiviti seperti melihat burung di Taman Burung, 0rkid (di Taman Orkid) dan tanaman herba (Taman Herba).

Selain itu, pulau-pulau yang diumpamakan sebagai ‘Gugusan Zamrud’ seperti Pulau Redang, Pulau Tenggol, Pulau Lang Tengah, Pulau kapas dan Pulau Lang Tengah, terus menggamit pelancong dengan keindahan batu karang dan hidupan lautnya.

Comments

Popular posts from this blog

Place To Stay A Marang

Yang Belum Menghantar URL

Experience a holiday in the tropics, Terengganu ultimately