Saturday, December 5, 2015

Terengganu Kuatkuasa Larangan Pelepasan Air Kumbahan Di Pulau Peranginan

December 5, 2015 Kerajaan negeri sedang menguatkuasakan larangan pelepasan air kumbahan atau air limpahan terus ke pantai atau laut bagi memastikan tahap kebersihan dan kelestarian Pulau Perhentian sentiasa terjaga. Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, individu atau pemilik yang didapati melakukan kesalahan itu boleh diambil tindakan di bawah seksyen 86(B) Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 (akta 133). “Notis akan dikeluarkan dan penutupan premis akan dibuat sekiranya (pemilik) ingkar pada notis,” katanya menjawab soalan Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman (BN-Kuala Besut) pada persidangan Dewan Undangan Negeri, Khamis lalu. Ahmad Razif berkata, kerajaan negeri turut menguatkuasakan syarat pembinaan tangki septik dan telaga resapan bagi pembuangan air kumbahan dan air limpah di pulau itu. Menjawab soalan tambahan Tengku Zaihan mengenai perancangan jangka panjang untuk menaik taraf sistem kumbahan di pulau itu, Ahmad Razif berkata kerajaan telah meluluskan peruntukan bagi pembinaan fasa 1 loji rawatan kumbahan dalam Rancangan Malaysia ke-10. Beliau berkata melalui Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, projek itu akan dibangunkan di Kampung Perhentian, Teluk Aur dan Pasir Panjang di Pulau Perhentian Kecil serta di kawasan tadahan Teluk Dalam dan Teluk Keke (KK), Pulau Perhentian Besar di tapak seluas 1.2078 hektar. “Loji yang akan dibina kelak berkapasiti 4,000 (PE) akan dapat menampung hampir 70 peratus daripada keperluan penduduk di kawasan itu, manakala fasa seterusnya akan diteruskan dan peruntukan tambahan akan dipohon. “Pelaksanaannya dikawal oleh Jabatan Perkhidmatan Pembetungan (JPP) dan sehingga kini saya difahamkan, JPP dalam proses terakhir bagi terma rujukan dan dokumen tender bagi perlantikan perunding dan kontraktor,” katanya. Selain Pulau Perhentian, kerajaan negeri juga akan melaksanakan sistem kumbahan berpusat di pulau pelancongan yang lain kecuali Pulau Kapas di Marang berdasarkan kapasiti penduduknya yang rendah dan tiada keperluan mendesak di pulau tersebut. Ahmad Razif berkata sebuah syarikat dari Denmark juga berminat untuk membangunkan sistem kumbahan dengan teknologi terbaharu yang dapat menghasilkan gas untuk kegunaan lain yang akan dibangunkan pada tahun depan.

Adu Kolek (Terengganu Seafarer Challenge)

Adu Kolek (Terengganu Seafarer Challenge) 1-3 December 2017