Wednesday, January 27, 2016

Perhutanan Terengganu Mahu Tubuh Persatuan Malim Gunung

January 27, 2016

Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu berhasrat menubuhkan Persatuan Malim Gunung Terengganu sebagai langkah mengawal keselamatan pendaki dan menjaga kebersihan kawasan hutan lipur serta pergunungan di negeri ini.

Pengarahnya, Dato’ Azmi Nordin berkata, lebih 30 malim gunung disasarkan dapat berkhidmat di lokasi yang bersesuaian dan buat permulaan ia disediakan di kawasan Hutan Lipur Chemerong, Pasir Raja, Dungun, pada awal bulan Mac ini.

“Mereka akan dibayar mengikut pakej yang akan ditetapkan Jabatan Perhutanan, persatuan dan pihak berkaitan seperti agensi pelancongan.

“Kita akan melihat perkara itu dalam tempoh enam bulan, sekiranya menampakkan perkembangan positif terutama berkaitan penerimaan pendaki, perkhidmatan sama akan diperkenalkan ke Gunung Tebu, Besut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, bagi tujuan itu, pihaknya mengalu-alukan orang ramai, terutama penduduk setempat yang mempunyai pengalaman mendaki, sihat fizikal dan mental serta mempunyai minat yang tinggi menjadi malim gunung.

“Setiap permohonan perlu dikemukakan kepada Jabatan Perhutanan berdekatan, sekiranya melepasi syarat ditetapkan, mereka akan dipanggil untuk mengikuti beberapa siri kursus sebagai syarat manjadi malim gunung,” katanya.

Azmi berkata, cadangan memperkenalkan malim gunung sangat wajar kerana bukan saja bertujuan menjaga keselamatan, pengangkutan barang malah peting bagi menjaga kebersihan.

“Berdasarkan laporan, kawasan hutan dan gunung di negeri ini mula dicemari pelbagai jenis sampah sarap, berikutan peningkatan jumlah pendaki.

“Sebelum ini hanya sekitar 200 individu sebulan, kini meningkat sekali ganda mencecah lebih 400 pendaki di Hutan Lipur Chemerong dalam tempoh sama, berkemungkinan faktor diviralkan ramai pihak,” katanya.

Tuesday, January 26, 2016

‘Beautiful Terengganu’ Ganti ‘Pesona Terengganu’

January 26, 2016

Kerajaan negeri komited menjadikan Terengganu destinasi tumpuan dunia dengan membuat penjenamaan semula program promosi Tahun Melawat Terengganu 2017.

‘Beautiful Terengganu’ diperkenalkan bagi menggantikan ‘Pesona Terengganu’ yang mempunyai matlamat hampir sama iaitu mempromosikan pembangunan sosio ekonomi negeri menerusi sektor pelancongan.

Terengganu menyasar kedatangan 6.5 juta pelancong menjelang tahun 2020 dengan mengetengahkan pelbagai produk baharu seperti Tasik Kenyir, Setiu Wetland, pulau-pulau peranginan, industri kraf tempatan, sejarah dan warisan serta keenakan makanan tradisional.

Selain itu, sektor pelancongan sukan dan kesihatan akan turut diperkasakan.

“Tahun 2015, Terengganu telah menerima kunjungan hampir 5 juta pelancong, di mana 16 peratus daripadanya adalah warga asing. Kita sasarkan angka ini meningkat kepada 6.5 juta dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Yang kita pentingkan di sini adalah kualiti pelancong, bukan kuantiti. Berapa malam mereka menetap di Terengganu, banyak mana mereka berbelanja. Itu yang perlu kita promosikan supaya mereka menetap lama di negeri kita,” kata Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman.

Ahmad Razif berkata demikian kepada media selepas Majlis Pra Pelancaran Tahun Melawat Terengganu 2017 di Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama, Tengku Seri Temenggong Raja; Yang Dipertua DUN, Dato’ Zubir Embong dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Osman Muda.

Thursday, January 14, 2016

Kuala Besut Park Ubah Landskap Sungai Nail

January 14, 2016

Kuala Besut Park yang terletak di antara Kampung Tengah dan Pekan Baru, Kuala Besut bakal mengubah landskap pembangunan di kawasan tersebut apabila ia siap kelak pada 2018.

Berkeluasan 1.6 hektar, kawasan rekreasi itu akan dilengkapi dengan sebuah dataran terbuka serbaguna berbumbung, medan makanan laut, menara tinjau dan unit perkedaian berkonsepkan kedai dalam taman.

Turut diwujudkan, taman permainan kanak-kanak, persiaran pejalan kaki di tepi Sungai Nail, kawasan hijau serta beberapa lagi komponen yang mesra alam.

Dengan kos RM20 juta, ianya bakal dijadikan sebagai salah satu lokasi pelancongan terbaru yang membawa keunikan di dalam Kuala Besut.

ADUN Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman berkata, Kuala Besut Park juga dijadikan sebagai satu lagi lokasi bagi kegiatan ekonomi di kawasan tersebut khususnya ketika pasar tani pada setiap Isnin dan Jumaat.

“Pembinaannya yang akan bermula awal tahun ini selaras dengan kerja-kerja pengindahan Sungai Nail oleh Jabatan Pengairan dan Saliran bagi mewujudkan suasana damai dan tenang,” katanya.

Monday, January 11, 2016

UiTM Terengganu Rancang Bina Hotel Atas Pelantar Minyak

January 11, 2016

Universiti Teknologi Mara (UiTM) Terengganu merancang membina hotel di atas pelantar minyak sebagai tarikan baharu produk pelancongan khususnya di Daerah Dungun sempena Tahun Melawat Terengganu 2017.

Rektor UiTM Terengganu, Prof Madya Dr Abdol Samad Nawi berkata, pembinaan hotel berkenaan bukan sahaja dapat menarik pelancong dari dalam dan luar negara, malah boleh dijadikan sebagai pusat pengajaran dan pembelajaran Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan universiti berkenaan.

“Sekarang, dalam keadaan ekonomi tidak menentu, pelancongan satu bidang harus diberi penekanan penting dan saya yakin jika hotel ini siap, lebih ramai pelancong akan berkunjung ke sini dan mereka berpeluang bermalam di atas pelantar minyak bagi merasai pengalaman berbeza.

“Saya akan berjumpa Ketua Pegawai Eksekutif Petronas untuk berbincang bagi mendapatkan pelantar Petronas yang sudah tidak digunakan dan kalau boleh, kita akan letak pelantar berkenaan 10 batu nautika dari pesisir pantai Dungun dan ubah suai menjadikan hotel terapung di tengah-tengah laut,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis penutup Festival Hospitaliti 2016 di UiTM Terengganu Kampus Dungun.

Abdol Samad berkata, pembinaan hotel atas pelantar itu juga akan memberi pengalaman baharu kepada pelajar UiTM yang mengikuti kursus penyediaan makanan dan hospitaliti untuk menyediakan perkhidmatan di tengah-tengah laut.

“Biasanya mereka akan menjalani praktikal di hotel biasa tetapi kali ini mereka juga berpeluang menjalani praktikal di tengah laut dan boleh belajar cara berbeza kerana di tengah laut kita tidak gunakan gas untuk memasak tetapi guna tenaga elektrik, ini dapat membezakan graduan UiTM dengan universiti lain.

“Kalau Kerajaan Terengganu juga bersetuju dengan cadangan ini, saya rasa ia akan memberi impak yang besar kepada pelancongan Terengganu,” katanya.

Adu Kolek (Terengganu Seafarer Challenge)

Adu Kolek (Terengganu Seafarer Challenge) 1-3 December 2017