Monday, February 15, 2016

DapoPata Sasar 48 Kontena, Bantu Usahawan Muda

February 15, 2016

DapoPata yang terletak di Pantai Tok Jembal, Kuala Nerus merupakan tapak bazar niaga berkontena tepi pantai pertama di Malaysia.

Berkonsepkan santai, ianya menjadi tumpuan kepada pengunjung tanpa mengira peringkat umur.

Walaupun baru dibuka pada 12 Februari lalu, sambutan pengunjung yang begitu menggalakkan memeranjatkan pengusahanya.

Dengan 1.6 hektar kawasan yang baru digunakan untuk fasa pertama itu menempatkan 22 biji kontena bersaiz enam meter dan hanya menyediakan makanan serta minuman.

Pengusaha Dapo Pata, Affandi Hamzah, 40, berkata idea untuk memulakan tapak bazar tersebut telah tercetus sekian lama namun tidak dapat direalisasikan sehingga pulang ke Terengganu.

Katanya, projek yang diusahakan bersama adik-beradik yang lain itu adalah untuk membantu usahawan-usahawan terutamanya belia Melayu memajukan diri mereka.

“Idea untuk memulakan tapak perniagaan berkonsepkan kontena ini telah tercetus sejak 2008 namun sukar untuk direalisasikan kerana walaupun kami adik-beradik berasal dari Terengganu, semua tinggal di luar kawasan. Namun bermula tahun lepas, kami nekad untuk memulakan perniagaan di Pantai Tok Jembal ini.

“Dengan terbinanya tapak bazar ini, kami dapat membantu usahawan kecil yang betul-betul serius untuk memulakan perniagaan bagi meningkatkan taraf ekonomi rakyat di Terengganu,” katanya kepada teganukita.

Affandi berkata, walaupun banyak tapak bazar niaga baharu di Malaysia, beliau menggunakan konsep berbeza untuk dibawa ke Terengganu.

Konsep perniagaan mengikut peredaran dan kehendak belia masa kini.

Perbincangan bersama keluarga memutuskan untuk menggunakan kontena dilihat lebih sesuai untuk anak muda yang menginginkan kelainan.

“Perniagaan adalah ibadah. Jadi kami sekeluarga berbincang bagaimana untuk menggaulkan antara ibadah dan cara hidup masa kini dan hasilnya adalah tapak bazar niaga ini.

“Kami gunakan sarang (lot kedai) yang berbeza dari tapak-tapak bazar niaga sedia ada dan lebih menarik adalah ianya terletak di tepi pantai dimana pengunjung dapat menikmati keindahan semulajadi sambil meluangkan masa bersama rakan-rakan serta keluarga,” katanya.

Sementara itu, Affandi bercadang untuk memulakan fasa kedua bagi projek DapoPata ini sebelum bermulanya bulan Ramadhan.

Katanya, untuk fasa kedua ianya akan memuatkan 26 kontena panjang yang berukuran 12 meter namun perniagaan yang akan disediakan adalah berbeza.

“Untuk fasa seterusnya, kami masih meneruskan konsep sedia ada namun barangan yang akan dijual adalah barangan kering antaranya pakaian, jersi bola dan sebagainya,” katanya.

Tambahnya, pemilihan peniaga yang dilakukakan bagi melakukan perniagaan di sini amat dititikberatkan.

Katanya, beliau hanya akan memberi kebenaran kepada mereka yang serius untuk memulakan perniagaan.

“Tujuan saya membuka tapak bazar niaga ini adalah untuk membantu masyarakat kita meningkatkan taraf hidup mereka disamping membawa pulang konsep baharu dalam menaikkan pelancongan di Terengganu.

“Sebelum mereka mula berniaga di sini, saya telah berpesan kepada peniaga agar saling membantu dalam menaikkan perniagaan sesama mereka serta saling hormat-menghormati kerana ingin mengekalkan keharmonian dalam komuniti DapoPata,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Adu Kolek (Terengganu Seafarer Challenge)

Adu Kolek (Terengganu Seafarer Challenge) 1-3 December 2017